Saturday, 30 August 2014

Dilemma Kemarau dan Hujan


Sebagai seorang petani kita  mengharapkan iklim menyebelahi kita.  Walaubagaimanapun Allah menentukan segalanya.  Pada awal tahun ini keadaan kering yang panjang menyebabkan ramai yang mengeluh.  Saya ketika itu telah meracun pokok sawit yang telah tua dan rosak itu.  Sedikit demi sedikit kebanyakan pokok tersebut telah mati dan mereput.



            Seperti biasa yang di lakukan oleh penanam sawit di sini apabila ia telah mati hendaklah di bakar kerana ia akan menjadi baja dan menerangkan kebun.  Saya telah mengupah pekerja Indon untuk melaksanakannya.  Keadaan yang kering menyenangkan beliau membakar pokok-pokok tersebut.  Telah 4 bulan saya menunggu untuk pokok tersebut mati.


Pokok sawit mula mati dan kering


            Belum pun 2 pokok yang di bakar, orang kampong telah datang dan menyarankan agar ianya di padamkan.  Memang benar baru bakar 2 pokok pokok ketiga telah juga terbakar, maka kami pun cepat-cepat memadamkan api.  Pekebun tadi kata telah banyak kes berlaku dan jiran yang kebun nya terbakar meminta pampasan.  Maka terpaksalah saya tunggu sehingga hujan turun.




            Pertengahan bulan Ogos hujan telah mula turun, walaupun ramalan kaji cuaca kata panas sehingga akhir bulan September.  Saya pun memanggil kembali pekerja Indon tadi dan beliau pun cuba membakar.  Kali ini amat susah kerana pelepahnya basah, api lambat untuk menyala.  Bakar 4-5 pokok hujan setiap petang turun.... maka di tangguh untuk minggu berikutnya.  Kini masih lagi proses membakar pokok-pokok tersebut dan saya juga meracun di bawah pohon-pohon ini kerana pada musim hujan rumput-rumpai serta anak pokok cepat tumbuh.  Inilah dilemma seorang pekebun, rintangan yang tidak dapat di elakkan.  Berdoa sahajalah, moga-moga segala yang di rancang dapat dilaksanakan dengan mudah, InsyaAllah...

Saturday, 23 August 2014

Progress Kerja-kerja Infra

         Setelah penat lelah dan melayan kerenah pekerja tapi hasilnya amat menggembirakan.  Saya dapat lihat kebun yang bersih, rapi dengan jalan kebun yang boleh kereta saya masuk dengan mudah.

          Memanglah kerja-kerja ini amat memenatkan kerana saya berulang-alik dari rumah ke kebun.  Minyak petrol habis kena keluar ke pekan, angkut air,  beli makan tengahari untuk saya dan pekerja kena keluar ke pekan dsn.  Kalau pada mula saya bakar rumput yang telah di potong.  Matahari membakar kulit, menyimbah keringat tapi pada pertengahan Ogos ini mula hujan.  Setiap hari hujan, baik untuk menanam benih-benih pokok tapi apa boleh buat kerja-kerja pembersihan belum habis di laksanakan. 


          Kerja-kerja ini perlu kerana di tempat ini banyak babi yang merosakkan tanaman.  Saya pernah menanam pokok kecil (anak pokok) sebanyak 150 pokok. Pokok-pokok di cabut untuk mendapatkan cacing yang tinggal sekarang ini tinggal kurang dari 10 pokok..... ruginya rasa..  




Sesuatu yang amat memeranjatkan saya, tengah saya menebas dan JBC-backhoe membuat parit sekumpulan babi (7-9 ekor) dengan laju melintas.  Bukan saya aje yang terkejut, pemandu back-hoe pun terkejut.....












Thursday, 21 August 2014

Penyelenggaraan Mesin

          Penggunaan mesin-mesin kecil ini dapat mempercepatkan kerja-kerja dan memudahkan kerja-kerja di kebun saya.  Saya sendiri pernah memotong rumput menggunakan sabit, mengali menggunakan cebak dan memotong pokok gunakan gergaji tangan.  Ia amat menyakitkan dan lambat tetapi waktu itu saya tidak berkemampuan.  Mesin juga seperti manusia yang perlu penjagaan.  Saya kerap juga ke kedai mesin untuk buat penyelenggaraan (maintenance).  Buat masa sekarang mesin rumput selalu memberikan masalah kerana kerap di gunakan.

          Kerja-kerja penyelenggaraan (maintainence) haruslah kerap di lakukan kepada mesin 2 lejang ini.  Minyak 2T harus di gunakan untuk memastikan injin tidak panas.  Tetapi jika berlebihan ia akan menyebabkan ‘spark plug’ tersumbat.  Ini perkara biasa jika di tanya kepada mereka yang biasa gunakan mesin rumput.  Oleh itu saya sentiasa membawa palam pencucuh lebih kerana saya tahu kebiasaannya ia merupakan masalah yang biasa di hadapi oleh pengguna mesin 2 lejang ini. Begitu juga dengan Power Sprayer saya bila 2-3 kali pakai dah kena tukar spark plug.


Spark plug yang kotor


Spark plug yang telah di gunakan dan tidak boleh di gunakan lagi

Wednesday, 20 August 2014

Kerenah Pekerja

Pada asalnya saya mempunyai masalah pekerja dan terpaksa membuat kerja-kerja sendiri dan bantuan keluarga saya (isteri dan anak).  Saya kemudian mendapat pertolongan dari rakan dari Tapah Road yang meminjamkan pekerja beliau dari Indonesia.  Lepas 2 minggu, 2 orang pekerja dari Bangladesh menawarkan diri.  Sekarang saya terlebih pekerja.  Setiap pekerja berbeza kerenahnya pula...


          Pada awalnya saya mendapat pekerja Indonesia (indon).  Pada mula-mula bekerja, dia ni amat bagus dan rajin.  Jika saya call handphone dia cepat-cepat angkat. Sudah minggu ketiga berbagai alasan pulak, badan sakit, tak biasa kerja kebun dsn, sedangkan dia kerja kontrak dan angkat buah sawit jauh lebih teruk penatnya.  Saya buat diamkan sahaja dan minggu keempat saya call pun dia tak angkat.


          Alhamdulillah, ketika itu juga seorang warga Bangladesh bertanya saya, ada kerja tak kerana dia nampak saya memotong rumput dan membersihkan kebun seorang diri.  Apabila di tanya, ada berapa orang yang nak berkerja, dia kata ‘ saya ada 6 orang, abang boleh pilih mana satu pun boleh’ . Wah, pucuk di cita, ulam yang datang.  Dia minta saya ambil mereka di rumah pekerja kerana mereka tidak mempunyai kenderaan.  Mereka bekerja di ladang itik di lombong dan majikan mereka berbangsa cina.  Sedih saya melihat keadaan mereka tinggal.  Beratap dan berdindingkan zink sahaja tetapi saya tidak mahu banyak komen.

          Pagi lagi mereka dah call saya, ‘ abang hari ini ada datangkan?’.  Saya lihat baru pukul 7.00 pagi.  Saya ambil mereka pukul 8.30 pagi dan mereka mula buat kerja sehingga saya suruh mereka makan tengahari.  Mereka sambung balik sehingga pukul 4.00 petang kerana saya pun dah penat menunggu untuk hantar mereka pulang.  Setelah 2 minggu, pekerja Indon tu call saya, ‘ bos kenapa bagi sama Bangla’.  Saya nyatakan yang dia sendiri yang kata sakit-sakit dan kerja menebas tidak biasa.  Mereka pulak merayu dan saya nyatakan buatlah kerja di kebun bersebelahan.  Itu pun nasib dia baik, saya ada 3 keping tanah kebun yang nak di usahakan.


Briefing Session untuk Pekerja Bangladesh



Barulah saya dapat duduk.....

Tuesday, 19 August 2014

Peralatan yang Memudahkan

          Kerja-kerja pertanian boleh di lakukan dengan tulang 4 kerat tetapi dengan kemudahan teknologi di zaman moden ini pelbagai mesin-mesin telah di cipta bagi memudahkan kerja-kerja tersebut.  Saya juga telah membeli mesin-mesin tersebut bagi kegunaan di kebun agar kerja-kerja dapat di laksanakan dengan cepat dan lebih efficient.  Terdapat juga mesin yang di berikan oleh Jabatan Pertanian.


          Sebagai petani moden, saya melakukan kerja dengan menggunakan mesin-mesin kecil yang senang di kendalikan.  Mesin-mesin ini banyak membantu untuk menpercepatkan kerja-kerja bertani ini.  Walaubagaimanapun, mesin-mesin ini hendaklah di jaga dan kita hendaklah tahu masalah dalam menggunakannya.  Kebanyakkan mesin saya ini menggunakan injin kerana ia lebih kuat dan tidak memerlukan sumber eletrik.  Cuma sekarang ini harga bahan api seperti petrol juga telah naik dan mahal.  



3 buah mesin rumput – sandang dan tolak


Penyembur racun dan baja cecair menggunakan bateri


Pengasah atau ‘Grinder’


Mist Power Sprayer
(maaf termasuk gambar kaki saya pulak)



Auger atau pengali bersama augerbit

(saya pernah gunakan cebak untuk mengali lubang, melelas/melecit kulit tangan dan menggunakan tenaga yang banyak)



Babi oh babi....

Kebun-kebun saya ini terletak di Kg Hj Arif, Temoh, Perak dan Kg Sg. Dadeh, Temoh Perak.  Kedua-dua kampong ini bersebelahan sahaja.  Atas dorongan dan sokongan dari rakan-rakan dan Jabatan Pertanian, maka saya memulakan kerja-kerja membersih semak samun, meratakan, membuang pokok-pokok hutan yang tumbuh sendiri, membuat jalan kebun, mengali parit dsn.


          Saya juga meminta nasihat orang kampong sekeliling kerana kampong di sini banyak ternakan seperti kambing, lembu dan kerbau tetapi yang menjadi masalah yang besar bagi kami ialah babi hutan.  Pelbagai cara orang kampong cuba seperti meletakkan rambut dari kedai gunting kerana kononnya ia akan masuk hidung mereka dan mereka tak suka tetapi di sini ia tidak berhasil.


Babi hutan di sini menjadi banyak apabila menularnya wabak JE dan orang cina yang selalunya mencari babi hutan tidak lagi berminat.  Babi hutan membiak dengan cepat dan ia merosakan tanaman.  Pokok-pokok yang kecil di cabut dan di gali untuk mendapatkan cacing, makanan kegemaran mereka.  Puas orang kampong cuba pelbagai cara tetapi kurang berjaya.  Kalau masuk seekor tu takpe, sekali datang dengan ahli keluarga pulak tu, dari yang besar, sedang dan kecil-kecil datang berkelompok. 

Seorang pakcik di sini nyatakan agar saya gali parit di sekeliling kebun.  Ada yang menyarankan pagar dengan pagar berduri.  Saya pagar dengan pagar duri tetapi saya dapati dari kesan tapak dan lumpur pada duri dawai tersebut babi hutan ini pandai.  Pagar duri itu mereka dapat lalu dan tidak menjejaskan kulit mereka. Babi-babi ni gali di bawah pagar duri tersebut untuk masuk ke kebun saya.

          Seorang rakan dn juga orang kampong sini nyatakan buat parit yang dalam dan ban yang tinggi.  Saya mengambil keputusan untuk mengali parit yang dalam dan membuat  “ban” kata orang kampong yang sebenarnya ialah “bank” seperti “river bank”.  Ban ini saya buatkan agak tinggi dan jarak ban ini dan kedalaman parit ialah 7 kaki.  Di harapkan dengan parit ini dapat mengelak babi dari memasuki kebun saya.

          Kerja-kerja lain seperti membuat jalan kebun dan memagar juga saya laksanakan dengan pekerja dan secara kontrak.  Pagar saya gunakan kerana di kebun saya yang tidak boleh di gali parit yang dalam kerana takut orang kampong yang lalu di situ tidak nampak, termasuk dalam parit. Dah le parit tu kedalaman 7 kaki termasuk ban tadi..... sesekali tengok macam liang lahat pulak... 

Monday, 18 August 2014

Kebun sebelum mula projek

Sebelum ini saya bertugas di Kuala Lumpur dan jarang balik untuk mengerjakan kebun-kebun saya.  Ini kerana kesibukan dengan kerja seharian dan seperti biasa mereka yang pernah berkhidmat di ibukota ini akan pergi kerja awal pagi dan balik lewat petang atau selepas maghrib. Jadi dalam sebulan sekali barulah jika tidak terlalu sibuk saya balik mengenguk kebun-kebun saya ini. 

          Saya sememangnya berniat untuk pulang bertani di kampong dan retirement plan saya.  Memandangkan beban tugas yang semakin meningkat dan orang tua isteri saya yang lanjut umur, saya bercadang untuk berhijrah balik ke kampong.  Mungkin desakan itu amat tinggi, saya memohon untuk berkidmat di Kampar, Perak.  Nasib menyebelahi saya dan syukur Alhamdulillah temuduga kurang dari 10 minit saya di tawarkan berkhidmat di Kampar, Perak.  Alhamdulillah, di takdirkan saya dapat bertugas di universiti di Kampar, Perak.  Walaupun gajinya kurang lumayan tetapi universiti ini memberikan saya ruang yang baik untuk saya balik ke kampong dan mengerjakan kebun saya ini.  Saya merasa teramat lega kerana untuk ke tempat kerja mengambil 7-10 minit tanpa sebarang kesesakan lalu-lintas.  Cuma terperanjat juga pagi-pagi sekumpulan kerbau melintas jalan. Hahaha...


          Keadaan kebun-kebun saya seperti biasa semak-samun tetapi saya berhasrat menbersihkannya.  Mungkin kalau di lakukan bersendirian saya akan mengambil masa yang agak lama.  Saya mencari pekerja di sekeliling kampong bagi membantu saya.  





Ketika ini mungkin kalau babi hutan menyorok pun tak nampak.  Saya bertekad untuk membersihkan dan melaksanakan projek ini dengan terbaik.