Monday, 18 August 2014

Bermula lah Perjalanan

Saya mempunyai 3 bidang tanah yang berukuran lebih kurang 3 ekar sekeping.  Ini bermakna saya akan melaksanakan projek baru saya ini di atas 9 ekar tanah.  Dua bidang tanah ini saya telah usahakan dengan tanaman gaharu tetapi oleh kerana kurang pengalaman, saya hanya menanam kurang dari 1,000 pokok dalam 6 ekar tanah tersebut.  Jika mengikut ukuran sebenar 1 ekar tanah boleh di muatkan dengan 1,000 pokok gaharu.  Jadi jika di lihat pokok-pokok saya itu amat jarang-jarang sekali.


kerja-kerja membersih dan menebas

Jadi bermula lah perjalanan saya berbincang dengan orang Jabatan Pertanian dari Putrajaya hingga ke Batu Gajah, Perak dan seterusnya lawatan ke tapak kebun di Temoh, Perak.




           Atas nasihat yang diberikan saya meneroka satu projek baru iaitu penanaman limau purut.  Saya sendiri telah berbincang dengan pengusaha kilang di Gombak, Kuala Lumpur yang mengusahakan rempah ratus.  Permintaan yang stabil dengan pengeluaran yang tidak menentu menyebabkan pengeluaran kilang ini selalu terganggu.  Beliau juga telah ke Thailand untuk mendapatkan bahan mentah tetapi kualiti daun limau purut di dapati kurang bermutu.  Walaupun cantik daun nya tetapi aroma nya kurang berbanding dengan daun limau purut tempatan.

           Saya telah berbincang dan telah mendapat surat sokongan dari beliau yang menjanjikan hasil tanaman saya dapat di ambil dan dibelinya.  Satu bidang tanah lagi adalah kebun sawit saya yang telah tua dan mengalami kerosakan dalam batang sawit tersebut menyebabkan ia tidak mngeluarkan hasil yang sepatutnya.  Saya mengambil keputusan untuk melupuskan tanaman sawit ini dan di gantikan dengan tanaman lain seperti limau purut ini.  


Lawatan Dari Institut Pertanian Titi Gantong dan Jabatan Pertanian Tapah

Friday, 15 August 2014

PETIKAN DARI JABATAN PERTANIAN MALAYSIA

TANAMAN LIMAU PURUT WAK HADI – dari Kg Parit Baru Baroh ke pasaran Eropah
(idris bald)

Encik Ahmad Hadi bin Ikhsan mendapati sepohon pokok limau purutnya yang tumbuh rimbun di belakang bilik air di rumahnya boleh menghasilkan pendapatan harian antara RM 50.00 hingga RM 60.00. Pohon yang terletak di rumahnya di Kampong Sungai Apong, Sabak Bernam, Selangor kerap didatangi oleh peraih tempatan dan luar yang datang ke rumah untuk mendapatkan bekalan daun daun dan buah limau purut untuk pelbagai tujuan.

Encik Ahmad Hadi yang lebih dikenali dengan panggilan Wak Hadi telah mengambil keputusan untuk menanam lebih banyak tanaman limau purut ini di tanah peninggalan arwah bapanya seluas 0.6 hektar di Kg. Parit Baru Baroh. Peringkat awal penanaman adalah sebanyak 1200 pokok yang ditanam kira-kira 22 tahun lalu dilihat oleh jiran-jiran serta rakan sebagai usaha sia-sia kerana pasaran buahnya yang terhad.

Ternyata pandangan itu meleset kerana hari ini Wak Hadi bukan sahaja memasarkan buah limau purut tetapi ternyata hasil dari daunnya lebih lumayan dari buahnya dan boleh tersenyum puas dengan pendapatan purata antara RM 80 hingga RM 100 ribu setahun. Malah pasaran untuk kedua-dua bahan tanaman ini bukan sahaja untuk pasaran tempatan tetapi menjangkau ke pasaran Eropah.

Beliau berterima kasih kepada Jabatan Pertanian yang telah menghulurkan bantuan dan khidmat nasihat kepada beliau dan sejak tahun 2005. Pembesaran kawasan telah dilakukan dengan penambahan bilangan pokok seterus pihak jabatan telah menghulurkan bantuan berupa khidmat nasihat dan bahan imput seperti baja, racun dan sebagainya.

Kini projek di bawah Pembangunan Kluster Herba, Jabatan Pertanian, Wak Hadi telah memperluaskan kawasan tanaman menjadikan 1.2 hektar dengan tanaman hampir 3,000 batang pokok yang boleh membuahkan hasil purata 12 – 15 m/tan buah dan daun limau purut setahun. Kutipan hasil daun limau purut dijalankan 4 kali seminggu manakala buahnya dikutip bergantung kepada musim. Setakat ini menurut Wak Hadi, pasaran hasil buah dan daun adalah untuk pasaran tempatan dan juga ke pasaran ke Paris yang dikutip oleh peraih setiap kali mengutip hasil. Permintaan dari Hong Kong terpaksa ditolak disebabkan kekurangan bekalan.


Jabatan Pertanian sedang memperluaskan tanaman limau purut di kawasan ini dengan mengalakkan lebih ramai petani kawasan Sabak Bernam menanam tanaman limau purut dengan menjadikan Wak Hadi sebagai mentor kepada petani tempatan. Setakat ini 10 orang pengusaha sedang memulakan projek tanaman limau purut dengan keluasan lebih 10 hektar yang akan menghasilkan lebih 200 m/tan hasilan buah dan daun limau purut setahun. 

Menurut Encik Mohyee bin Aris Agen Pengembangan Kawasan (APK), Jabatan Pertanian Negeri Selangor sedang berusaha untuk mempelbagaikan hasilan limau purut sebagai industri hiliran seperti produk kering dan sebagainya







Thursday, 14 August 2014

Kerja-kerja sukarela

Selain dari bertugas dengan tugasan harian, saya juga melapangkan sedikit masa untuk menjalankan aktiviti sukarela.  Ini saya lakukan bersama rakan-rakan yang mewakili pelbagai NGO.  Mereka bergabung dalam Majlis Perundingan Melayu.  Saya di tempatkan dalam kluster ekonomi kerana pernah berkhidmat di bank komersial dan Bank Negara Malaysia.  Usaha kami untuk memajukan ekonomi bumiputra dari peringkat atasan seperti di Kementerian-kementerian.  Jangan salah faham, setakat ini saya belum lagi menggunakan platform ini bagi kepentingan peribadi. 


Bersama Menteri KPDNKK


Berbincang dengan Dato Hassan Malik


Berbincang dan meminta pandangan dari Tun Mahathir


Berbincang dengan Dato Seri Ismail Sabri, Menteri Pertanian dan
Asas Tani


Bersama Dato Arpan Shah, Ketua Pengarah LPP



Wednesday, 13 August 2014

Lawatan ke Kebun Limau Purut

Lawatan juga saya lakukan ke ladang rakan saya yang mengusahakan tanaman limau purut.




Saya teringat pesanan dari arwah bapa mertua saya yang amat gigih mengusahakan kebun untuk pertanian.  Beliau menyatakan orang kita boleh tanam apa sahaja jika di lakukan dengan tekun tetapi selalu gagal kerana kita tidak dapat pasaran yang baik atau di permainkan oleh orang tengah.  Pengalaman beliau menanam tanaman sayur kacang panjang yang telah di sarankan oleh pemborong cina.  Pada asalnya pemborong membeli dengan harga RM1.20 sekilo walaupun ketika itu harga pasaran ialah RM3.00/kilo.  Kemudian dia di beritahu harga telah turun dan hanya boleh membeli dengan hara RM0.80/kilo tetapi masih boleh bertahan. 

          Pada ketika itu beliau telah mengusahakan hanya 3 ekar sahaja tetapi bagi penanam sayur 3 ekar memang cukup besar.  Hasil yang di keluarkan dengan baja yang cukup boleh mengeluarkan bertan-tan kacang panjang.  Harga kemudian semakin jatuh dengan mendadak sehingga hanya 20sen/kilo.  Pelbagai alasan diberikan tetapi masih mengambil hasil tanaman tersebut. Beliau mencari jalan menjual di sekeliling kampong tetapi siapa yang hendak membeli dengan kuantiti yang banyak dan setiap hari. Oleh kerana marah dan tidak dapat ‘cover upah’ dan penat lelah, beliau mengambil keputusan racun dan bakar semasa lori peraih itu datang.  Peraih tersebut marah dan menyatakan 20sen pun  lebih baik dari dibakar dan cuba mengambil sendiri.  Dia suruh semua ahli keluarga tolong mengutip hasil tanpa upah pekerja.  Begitu pandai mereka ini sehingga menyarankan ahli keluarga tidak dibayar upah. Ini bermakna pasaran masih ada cuma di permainkan oleh orang tengah. Keadaan ini berlaku pada tahun 1980an lagi.

          Pasaran merupakan faktor yang penting dalam kejayaan hasil pertanian dan pihak agensi kerajaan tidak boleh kita diharapkan.  Apabila di tanya kenapa tidak meminta nasihat dengan FAMA, beliau menjawab kerenah birokrasi dan nasihat tidak menampakkan hasil yang baik.  “Mereka makan gaji kalau hasil tak terjual pun, gaji mereka tetap sama.  Tengok aje lori-lori FAMA yang tersadai tu” sambil menunjukan saya lori FAMA yang di letakkan di tepi jalan di Kampong Tengah.

          Pengalaman mengajar kita, samada berjaya mahupun gagal.  Baik dijadikan panduan, tak baik dijadikan sempadan dan iktibar.  Saya berminat dengan pertanian sejak kecil lagi.  Saya menanam sayur-sayuran di keliling rumah semasa saya masih berumur 12 tahun lagi.  Walaupun saya tinggal di bandar, saya sempat menanam kacang panjang, bendi, tomato, cili dsn.  Tidaklah banyak sekadar dapat di nikmati oleh keluarga saya sahaja.  Walaupun bidang yang saya ceburi secara akademik bukan dalam pertanian kerana dulu-dulu kita tidak mempunyai pilihan.  Apa yang di tawarkan itulah yang kita pelajari.

          Saya sebenarnya boleh dikatakan berjaya dalam bidang akademik kerana dapat melanjutkan sehingga peringkat Ph.D. , tetapi minat saya dalam pertanian mendorong saya untuk melakukan kerja-kerja bertani.  Pelajar universiti saya terperanjat melihat gambar saya di facebook dimana saya sedang memotong rumput, membakar sampah dsn.  Disatu masa mereka nampak saya mengajar, bergambar dan berbincang bersama menteri dan dalam ruang yang lain menyiram pokok, menebas dan membakar sampah di kebun. Hahaha... apa pun saya gembira dan seronok melakukan nya.  Alhamdulillah....

Lawatan ke Taman Herba

Saya juga telah melawat dan membeli herba-herba yang dijual di tepi jalan Sg. Buloh,  Herba seperti daun kari, Mahkota dewa, thyme, rosemary, serai, seraiwangi dsn.


Belalai Gajah


Daun Kari


Rosemary


Sage


Lemon Leaf (Bau nya serupa serai)


Mahkota Dewa

Herba Lemon Mytle dari Australia

Saya juga dapat bertemu dengan CEO Qzen Plantation Sdn Bhd Dr. Hairudin Md Bakri yang berasal dari Muar, Johor orang kampong saya dimana beliau telah berjaya untuk mendapatkan geran dan menghasilkan produk dari ‘lemon mytle’ yang dibawa khas dari Australia.


Walaupun produk herba ini tidak tersenarai dalam EPP1 tetapi ia telah mendapat hasil pulangan yang amat baik serta mempunyai pasaran yang terjamin.  Ciri-ciri ini saya teliti adalah salah satu faktor kejayaan dalam bidang pertanian.  Ramai yang boleh tanam herba dan kita di kurniakan oleh Allah tanah yang subur.  Dalam kes ‘lemon mytle’ ini Dr. Hairudin menyatakan tanaman di Malaysia mendapat pulangan yang jauh lebih tinggi dari di Australia.

Tuesday, 12 August 2014

Aku jadi Petani



Bermula perjalanan selepas mendengar saranan dari rakan-rakan dan Jabatan Pertanian.  Mengikut Tn Hj Redha dari Jabatan Pertanian, Putrajaya tanaman herba menjanjikan pulangan yang baik dan lebih konsisten.  Beliau memberikan beberapa jenis herba yang berpotensi tetapi adalah lebih baik jika saya buat penyelidikan sendiri terlebih dahulu.

Selepas menilai data dan maklumat yang terdapat di internet – sumber yang lebih senang di capai.  Herba merupakan salah satu inisiatif dibawah EPP (entry-point project) PEMANDU di bawah Jabatan Perdana Menteri.  Saya dapat meneliti potensi dan melangkah untuk mendapatkan seberapa maklumat yang perlu sebelum memulakan projek ini. Diantara herba yang tersenarai ialah
1. Tongkat ali
2. Kacip fatimah
3. Dukung anak
4. Hempedu bumi
5. Misai kucing
6. Pegaga
7. Roselle
8. Belalai gajah
9. Mengkudu
10. Halia
11. Mas cotek
12. Sireh/kaduk
13. Sambung nyawa
14. Merungai
15. Peria katak
16. Lempoyang
17. Gelenggang
18. Senduduk

Saya dapat berhubung dengan bahagian komoditi di Jabatan Pertanian Serdang dan berjumpa dengan beberapa orang pegawai di sana.  Saya juga telah di MARDI untuk bertanyakan mengenai potensi herba-herba.  Walaupun penemuan awalan di MARDI tidak berapa memberangsangkan, kerana mereka  mendapatKan geran penyelidikan sahaja.  Input lain lebih senang di dapati dari rakan-rakan di Institut Perhutanan Malaysia (FRIM).